Tag Archives: pedoman

RM800 SEBULAN! KISAH SEDEKAH SEORANG OKU YANG NORMAL..

Kisah yang terjadi di Public Gold Cawangan Melaka seperti yang diceritakan oleh Mahaguru EMAS Tuan Syukor Hashim. Semoga kisah ini memberikan iktibar kepada kita semua dan menjadi sebab untuk kita sama bersedekah.

Kredit Foto Tuan Syukor Hashim

“Akak tak kerja, akak suri rumah” jawab Kak Noraini dengan perlahan.

Itulah jawapan yang diberikan oleh Kak Noraini bila Suhaila, staff Public Gold Melaka bertanya tentang pekerjaan beliau.

Dia sedang berurusan untuk membeli emas untuk kali pertama. Beliau ditemani oleh suaminya.

Oleh kerana mereka merupakan customer saya, jadi saya datang dengan niat untuk temankan mereka dan membimbing dalam urusan pembelian emas.

Mendengar jawapan “saya suri rumah” Saya rasa tertarik nak interview kak Noraini. Maklumlah dia nak beli emas 50gram dengan nilai RM10,900 ++

Beliau merupakan seorang suri rumah dan tidak mempunyai gaji tetap bulanan. Kalau dia boleh beli emas RM10,900++ maksudnya ada something kita boleh belajar dengan dia. Kalau orang tu ada gaji, saya tidaklah hairan sangat.

“Akak suri rumah ye?”

Haah En. Syukor, akak suri rumah”

“Boleh saya tahu, akak ada buat bisnes apa-apa ke kat rumah?” Soal saya dengan niat mencungkil rahsia.

“Ya ada, akak ada buat bisnes kuih kecil-kecilan. Kalau ada tempahan, akak buat la” Balas kak Noraini.

“Akak dapat banyak tempahan tak?”

“Biasa-biasa ajer En. Syukor,on off, bukan tiap-tiap hari akak dapat tempahan kuih”

“Tapi ada seorang hamba Allah nie, dia tempah kuih kat akak setiap minggu, dia sedekahkan kat masjid setiap malam Jumaat”

“Oh! tiap-tiap minggu dia sedekah kuih kat masjid ye? Wah..hebat. berapa budget dia seminggu kak?” tanya saya.

“Dia budget RM200 seminggu. Dia suruh akak buat kuih, pastu akak pergilah hantar kat masjid Bukit Beruang setiap malam Jumaat”

“Biasanya akak hantar waktu Maghrib. Lepas orang baca Yassin, orang akan makan kuih tu. Akak letak kat meja belakang dewan”

“Lepas tu, dia akan bank in duit kat akak”

“Fuh! RM800 sebulan untuk disedekahkan kepada jemaah masjid, itu memang hebat”

“En. Syukor, dia tu OKU tau. Tangan dia cacat, dia kerja kat bengkel kereta” sambung kak Noraini lagi.

“Hah! OKU ye? Dia owner bengkel kereta ke?” Tanya saya.

“Tak, dia mekanik kat situ” balas kak Noraini.

“laaa yeke, saya ingatkan owner bengkel” saya terkejut.

Saya mencongak, berapa sangat gaji seorang mekanik. Saya tak tahu. Mungkin RM2000 ke RM3000 barangkali. Kalau RM800 dia peruntukkan untuk sedekah kat masjid, agak besar jugak portion sedekah beliau.

Lebih kurang 32%! Banyak tu!

“Kadang-kadang tu, abang akak ada juga suruh cakap, minggu ni tak payah bayar, kami tanggung. Tapi dia tak benarkan. Dia nak bayar juga! Tambah Kak Noraini lagi.

“Kalau akak tak larat nak buat kuih, akak cakap kat dia yang minggu ni akak tak buat jadi dia kena cari orang lain” kata kak Noraini.

Saya termanggu mendengar kisah kak Noraini ni.

Asalnya saya cuma nak tahu daripada mana kak Noraini dapat duit untuk beli emas ni. Sebab ia boleh jadi inspirasi untuk kita semua.

Namun apa yang saya dapat adalah kisah bonus, seorang insan OKU yang sangat konsisten bersedekah.

Untuk kak Noraini, seorang sururumah yang boleh mengumpul duit dan beli emas RM10,900++. Itu adalah kaya harta!

Untuk hamba Allah yang cacat tangannya, tapi konsisten bersedekah untuk jemaah Masjid. Itu adalah kaya jiwa!

Pada asalnya nak tahu rahsia seorang suri rumah yang boleh beli emas, sekali dapat kisah tentang seorang OKU yang kurang sifat tapi berjiwa lagi besar daripada kita yang normal. Kedua dua mereka kaya dalam konteks tersendiri.

Banyak pengajaran yang dapat dipelajari daripada kisah ni. Pertama nak beli emas Public Gold ni semua orang boleh. Tak kisah berapa pendapatan yang kita perolehi setiap bulan. Yang penting kita tahu tujuan beli emas. Nak selamatkan nilai duit.

Yang kedua tentang sedekah, boleh dikatakan tak semua dapat sedekah seperti insan OKU tu. Pada mata saya, dia lagi normal daripada kita. Dia lagi pemurah. Sangat memberikan kesan kepada saya secara jujurnya yang mampu tapi…

Doakan saya dan anda semua dapat juga bersedekah seperti beliau. Dan dapat lagi menyimpan emas seperti Kak Noraini. Amin

Jangan lupa share tau.

Dakwah itu Ada Pelbagai…Jangan mudah menilai takut nanti terkena diri sendiri

Post kali ni tak da kaitan dengan sesiapa pun, cuma sekadar perkongisan sebab ada antara kita bila ada yang ditimpa musibah pasti akan terus beranggapan yang bukan-bukan.

Bukan nak menenangkan malah terus dihentamnya kerana merasakn itu balasan daripada TUHAN. Ish..ish..ish tak baik tau. Kongsi tau post ni, sekadar peringatan kita bersama.

===================================================

Pada suatu malam, rumah seorang lelaki kaya dimasuki perompak. Banyak hartanya yang hilang dan ahli keluarganya dicederakan, namun masih selamat.

Keesokan hari, seorang ‘ustaz’ datang menziarahinya.

“Mungkin ini adalah balasan atas dosa-dosa kamu. Orang berharta sering lalai dengan hartanya, tidak membayar zakat, tidak mahu bersedekah, tidak memandang mereka yang fakir, kedekut dan asyik mengejar kekayaan.

Tuhan mahu membersihkan harta-harta kamu. Dosa apa yang sudah kamu lakukan sehingga Tuhan membalasmu begini sekali? Bertaubatlah dan berhentilah melakukan dosa itu.”

Orang kaya yang sedang bersedih itu bertambah sedih. Dia hanya mendiamkan diri dan tidak henti beristghfar sesungguh hati.

Apa yang si ‘ustaz’ tidak tahu ialah si kaya itu seorang yang dermawan, cuma dia tidak menghebahkannya. Dia membantu dan membangunkan sebuah perkampungan yang para penduduknya lebih dhaif dan susah.

Dia juga membinakan masjid untuk mereka. Banyak lagi kebaikan dan ibadah lain yang dilakukan oleh si kaya tanpa memberitahu sesiapa mengenai aktivitinya itu termasuk kepada pembantu dan rakan-rakannya.

Si kaya hanya memberitahu beberapa aktiviti kebajikan dan sedekah yang dilakukannya kepada penduduk kampungnya sendiri. Penduduk kampungnya pula tidak sedhaif penduduk kampung yang dibantunya.

Masjid di kampungnya besar dan dibangunkan atas derma ramai orang kaya di kampungnya juga. Ya, dia menderma sedikit sahaja. Itu pun kerana mahu menjaga hubungan baik dengan penduduk kampungnya.

Selesai men-tazkirah-kan si kaya, si ‘ustaz’ pulang ke rumah dengan perasaan ‘tenang’ kerana sudah menjalankan ‘tanggungjawabnya untuk berdakwah’ dan ‘menyampaikan’.

Beberapa hari selepas itu, perompak yang merompak rumah si kaya berjaya ditangkap. Semua harta yang dirompak berjaya ditemui semula dan dikembalikan kepada si kaya. Ahli keluarganya juga sudah semakin sihat.

Si kaya meraikan kesyukurannya dengan mengadakan jamuan besar-besaran dan menjemput semua penduduk kampung. Dia juga mengadakan jamuan di perkampungan yang dibantunya.

“Syukurlah kamu sudah insaf,” kata si ‘ustaz’ kepada si kaya.

“Terima kasih, ustaz, kerana mengingatkan aku,” kata si kaya sambil tersenyum.

“Tak apa. Sudah menjadi tugas aku untuk ‘berdakwah’,” jawab si ‘ustaz’.

Malam itu, rumah si ‘ustaz’ terbakar ketika mereka sekeluarga sedang tidur. Rumahnya habis hangus menjadi abu. Dia tinggal sehelai sepinggang dan seorang diri. Semua ahli keluarganya meninggal dunia.

Si ‘ustaz’ merintih.

“Ya Tuhan, aku tahu ini ujian-Mu terhadap aku. Aku mahu redha, namun ujian ini terlalu berat untukku.

Mengapa aku yang Kau pilih untuk menerima ujian ini?”

Tidak lama kemudian, si kaya menziarahi si alim.

“Aku tahu kau sedang bersedih dan aku tidak akan menambahkan kesedihanmu,” kata si kaya.

“Aku hanya mahu menyampaikan berita gembira kepadamu.”

“Bagaimana pula kau boleh menyampaikan berita gembira ketika aku sedang bersedih?” kata si ‘ustaz’, jengkel.

“Aku akan membinakan rumah baru untukmu. Buat sementara waktu ini, kau tinggal sahaja di salah satu rumah sewa aku secara percuma sehingga rumah barumu siap.

Aku juga sudah mengarahkan pembantuku untuk membawamu menyelesaikan banyak urusan terutama berkaitan dokumen yang sudah hangus.

Dia juga akan membawamu membeli semua barang keperluanmu termasuk pakaianmu. Semua belanja itu dan perbelanjaanmu yang lain, akan aku tanggung,” kata si kaya.

Si ‘ustaz’ terkejut dan terus memeluk si kaya. Dia tidak mampu berkata apa-apa kerana terlalu sedih dan terharu.

Pada masa yang sama, seorang ‘alim’ yang lain datang menziarahinya. Si kaya pun meminta diri dan meninggalkan mereka berdua.

Selepas bersalaman dan menyampaikan takziah, si ‘alim’ berkata,

“Dosa apa yang sudah kamu lakukan sehingga Tuhan membalasmu begini sekali?

Bertaubatlah dan berhentilah melakukan dosa itu.”

Si ‘ustaz’ yang sedang kesedihan tersentak dan tersentap. Serta merta dia menoleh ke arah si kaya yang sedang berjalan pulang ke rumahnya. Dia teringat semula soalan yang ditanyanya kepada si kaya itu tempoh hari.

Si ‘ustaz’ menangis keinsafan apabila menyedari keterlanjuran kata-katanya kepada si kaya. Dalam keterlanjuran itu pun, Allah masih memelihara aibnya dengan mengilhamkan si kaya membantunya, tanpa si ‘ustaz’ perlu meminta-minta.

“Ya Allah, aku mohon ampun… Ketika aku sangka yang aku sedang berdakwah, rupa-rupanya aku sedang mengadili dan ‘menghukum’nya.

Ketika dakwahku seharusnya membawa berita gembira kepadanya yang sedang bersedih, ternyata aku hanya menambahkan kesedihannya. Aku sudah faham sekarang. Ampunkanlah aku.

Jika ini adalah balasan-Mu terhadap keterlanjuranku, aku redha. Semoga Engkau mengizinkan aku kembali bertemu keluargaku di syurga.”

Jadi Kawan-kawan.

Kesempitan, kesulitan, musibah, ujian atau apa sahaja kesusahan yang kita lihat sedang dilalui oleh seseorang itu, boleh jadi ujian ataupun balasan Tuhan kepadanya.

Boleh jadi itu ujian yang Allah beri kepadanya bagi menguatkan lagi iman dan pergantungannya kepada Allah.

Boleh jadi juga itu balasan yang Allah berikan kepadanya atas banyak kelalaian dan kesilapan dia kepada Allah.

Tidak perlu kita mengingatkannya yang itu adalah balasan Tuhan atas dosa-dosanya. Tidak perlu juga kita mengingatkannya tentang dosa-dosanya.

Tuhan sendiri yang akan ‘memberikan’ ingatan itu kepadanya. Setiap hati manusia yang beriman pasti akan terdetik sendiri, selagi hatinya masih bersyahadah walaupun secebis.

Sebaliknya, kita pujuk dan senangkan hati mereka dengan mengingatkan mereka tentang kasih sayang Tuhan, yang Tuhan itu Maha Pengampun dan sentiasa akan ‘mengejutkan’ hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya melalui apa juga cara.

Ingatkan dia yang Tuhan sentiasa akan melepaskan hamba-hamba-Nya daripada apa saja kesulitan selagi kita kembali bergantung kepada-Nya, malah dikeluarkan kita daripada kesusahan melalui jalan yang tidak kita sangka, jika kita bertakwa.

Kita ini sama sahaja dengan mereka. Tidak ada beza langsung.

Lalu, siapa kita mahu menjatuhkan hukum dengan mengatakan ‘itu balasan untuk kamu’, sedangkan kita sendiri pun punya ujian sendiri yang kita juga tidak tahu apakah itu benar-benar ujian atau balasan Tuhan atas dosa-dosa kita?

Sama ada ujian ataupun balasan, semua itu adalah tanda kasih Allah kepada kita kerana Dia Maha Penyayang, Maha Mengasihani, Maha Menyintai.

Allah Maha Belas terhadap setiap makhluk-Nya walaupun dalam keadaan si makhluk yang kerap melupakan-Nya. Allah juga Maha Menghukum jika hamba-hamba-Nya masih berdegil dan tetap lalai serta berterusan melanggar setiap larangan-Nya supaya kita kembali mengingatinya.

Jika mahu mengingatkan juga, kita usaha pilih dan guna perkataan dan ayat-ayat yang lebih lembut dan tidak menghukum-hukum. Kita sendiri tidak suka diadili dan dihukum-hukum hanya berdasarkan apa yang orang nampak sedangkan banyak yang mereka tidak tahu tentang kita.

Tegur menegur. Ingat mengingati. Bukan mengadili dan bukan menghukum.

Hanya Allah yang memberi hidayah. Kita menyampaikan sahaja.

‘Dakwah’ itu ada pada akhlak dan kata-kata kita. Bukan pada hukuman dan amaran yang kita berikan kepada mereka.